PERUTUSAN PENGARAH
PERUTUSAN PENGARAH
Selamat datang ke Laman Web Rasmi Jabatan Pembangunan Perindustrian dan Penyelidikan (DIDR), Negeri Sabah.
Laman ini merupakan gerbang informasi rasmi bagi semua pihak yang ingin mengenali dengan lebih dekat peranan serta fungsi DIDR dalam menjana pertumbuhan sektor perindustrian di Sabah. Penyampaian maklumat yang tepat, telus dan mesra pengguna adalah komitmen kami dalam memperkukuh kepercayaan serta mempererat hubungan antara jabatan, rakyat dan para pemegang taruh.
Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada seluruh warga DIDR atas komitmen, dedikasi dan profesionalisme yang berterusan dalam melaksanakan amanah yang dipertanggungjawabkan. Segala pencapaian jabatan sehingga kini adalah hasil usaha bersama yang berpaksikan semangat kerja berpasukan, integriti dan kecemerlangan perkhidmatan awam.
Sebagai peneraju utama dalam pembangunan sektor perindustrian negeri, DIDR kekal komited melaksanakan agenda pembangunan berimpak tinggi selaras dengan kerangka Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ). Tumpuan diberikan kepada usaha memperkukuh daya saing sektor industri, khususnya dalam memperkasa Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS), agar terus berdaya tahan serta mampu berkembang dalam landskap ekonomi yang dinamik dan mencabar.
Tahun 2025 hadir dengan pelbagai cabaran baharu, namun turut membuka ruang yang luas untuk kita mengorak langkah dengan lebih progresif. Melalui pendekatan yang strategik, inklusif dan berinovatif, DIDR akan terus memainkan peranan penting dalam menarik pelaburan, merangsang pertumbuhan industri tempatan dan memperluaskan pasaran produk Sabah ke peringkat serantau dan antarabangsa.
Selaras dengan pelaksanaan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) yang baharu, jabatan juga memberi penekanan terhadap transformasi perkhidmatan awam yang lebih responsif, cekap dan berintegriti. Keutamaan kami adalah untuk memastikan mutu penyampaian perkhidmatan sentiasa berada pada tahap yang terbaik demi menyokong pembangunan negeri secara menyeluruh.
Akhir kata, saya berharap laman web ini dapat menjadi rujukan berguna dan sumber maklumat yang berkesan kepada semua pengunjung. Sebarang pandangan atau cadangan penambahbaikan amat dialu-alukan demi mempertingkatkan lagi kualiti perkhidmatan jabatan secara berterusan.
Sekian, terima kasih.
Siti Nur’Ain binti Abdullah
Pengarah
Jabatan Pembangunan Perindustrian dan Penyelidikan
![]()
